Pengurusan

PENGENALAN

Sukan Prestasi Tinggi Sekolah (SPTS) merupakan program pembangunan sukan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Tujuan penubuhannya adalah bagi mengenalpasti bakat-bakat muda bagi sukan yang berprestasi tinggi di peringkat sekolah khususnya.  Program ini dilaksanakan di Pusat-pusat Kecemerlangan Sukan Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu Sekolah Sukan Malaysia (SSM), Sekolah Sukan Negeri (SSN) dan Pusat Latihan Daerah (PLD). Pemilihan PLD bagi pelaksanaan program SPTS di setiap negeri ditentukan oleh Unit Sukan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) masing-masing melalui pencalonan dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD). PLD ini dikenal pasti dengan mengambil kira faktor prasarana sukan yang berkaitan dengan jenis sukan yang hendak dilaksanakan dan juga jurulatih berkelayakan yang berupaya melaksanakan program SPTS di PLD tersebut. Pemilihan kemasukan atlet ke program SPTS bagi sesebuah PLD  dilaksanakan melalui talent identification and development (TID) berpusat ataupun talent scouting oleh jurulatih-jurulatih PLD negeri masing-masing.

LATAR BELAKANG SPTS

Pada 10 Julai 2007 kertas konsep SPTS telah dibentang kepada YB Menteri Pelajaran Malaysia dan pada 31 Julai 2007 pula kertas berkenaan SPTS ini telah dibentang pada Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan (JKPS). Hasil pembentangan ini JKPS telah mengarahkan KPM dan Kementeriaan Belia dan Sukan (KBS) untuk menyelaraskan senarai sukan SPTS.

Pada 14 Ogos 2007, satu Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal antara KPM yang diwakili oleh Jabatan Pendidikan Jasmani dan Sukan (JPJS) dan KBS yang diwakili oleh Majlis Sukan Negara (MSN) telah diadakan. Mesyuarat itu telah memutuskan bahawa sukan yang disenaraikan untuk SPTS adalah :

  • Sepak Takraw
  • Memanah
  • Gimnastik Artistik
  • Badminton
  • Olahraga
  • Hoki Lelaki
  • Hoki Perempuan
  • Gimnastik Berirama

Pada 19 Disember 2007, sekali lagi Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal antara KPM dan KBS diadakan. Dalam mesyuarat ini telah diputuskan bahawa KPM akan melaksanakan sepenuhnya 3 jenis sukan iaitu Sepak Takraw, Memanah dan Bola Sepak mulai  Januari 2008. Sepak Takraw dan Memanah akan dijalankan di Pusat Latihan Daerah yang dilantik manakala Bola Sepak akan dijalankan di Sekolah Sukan Bola Sepak Negeri.

Pada 24 Jun 2009, satu lagi Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal antara   KPM dan KBS diadakan. Mesyuarat bersetuju untuk menambah 4 lagi jenis sukan teras MSN yang akan dilaksanakan di bawah Pogram SPTS, KPM. Sukan tersebut ialah Badminton, Olahraga, Hoki, Gimnastik Artistik dan Gimrama. Di samping itu, sukan Bola Sepak akan diperluaskan ke Pusat Latihan Daerah mulai tahun 2009.

Seiring dengan pelaksanaan program Sukan Prestasi Tinggi Sekolah (SPTS) ini, Kementerian Pendidikan Malaysia telah mewujudkan satu skim elaun bagi jurulatih (guru) yang melaksanakan program ini yang dinamakan Bayaran Insentif Jurulatih Sukan (BIJS).

KONSEP PROGRAM

Program SPTS adalah untuk melatih atlet muda yang berbakat di peringkat sekolah (berumur antara 6 tahun hingga 18 tahun) dalam jumlah yang ramai. KPM berharap dengan cara ini, pembentukan atlet atau pasukan remaja kebangsaan akan lebih mudah dilakukan . Atlet yang dikenalpasti akan dilatih di Pusat Latihan Daerah (PLD). Setiap PLD yang terpilih akan menjalankan 1 jenis sukan SPTS. Jurulatih yang ditempatkan di PLD adalah terdiri daripada kalangan guru (DG). Jurulatih yang dilantik dipilih sama ada dari sekolah PLD atau sekolah sekitar PLD.

OBJEKTIF JANGKA PENDEK

Melalui program SPTS, Kementerian Pendidikan Malaysia dapat :

  • Melahirkan atlet  terbaik  dalam sukan tertentu di peringkat Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD), Majlis Sukan Sekolah Negeri (MSSN) dan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).
  • Melahirkan atlet terbaik untuk ditempatkan di Sekolah Sukan Negeri (SSN) dan Sekolah Sukan Malaysia (SSM).
  • Melahirkan jurulatih SPTS yang bertauliah dari kalangan guru.

OBJEKTIF JANGKA PANJANG

Melalui program SPTS, Kementerian Pendidikan Malaysia dapat :

  • Melahirkan juara muda hingga ke peringkat Olimpik dan dunia.
  • Melahirkan juara remaja di peringkat ASEAN, Asia, Komanwel dan dunia.
  • Menjadi juara peringkat remaja sebelum menjadi Juara Senior. Sebagai contoh Sepak Takraw – perlu menjadi  johan sekolah ASEAN sebelum johan di Sukan SEA .

PUSAT LATIHAN DAERAH (PLD)

PLD terdiri daripada sekolah harian yang dikenalpasti oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD). Sekolah yang dikenalpasti perlu ada kemudahan sukan, prasarana dan jurulatih mengikut jenis sukan SPTS. PLD yang telah dikenalpasti dipanjangkan ke Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk pengesahan. Seterusnya JPN memanjangkan senarai PLD ke Bahagian Sukan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mendapatkan surat pelantikan.